| FAKULTI REKABENTUK DAN SENIBINA

Manfaatkan Ruang Kecil Di Kediaman Untuk Laman Terapi

Ringkasan Artikel

Menurut Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013) sebuah negara di Skandinavia iaitu Denmark berjaya setiap tahun dinobatkan sebagai negara yang paling bahagia di dunia.



Menurut Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happiness Report 2013) sebuah negara di Skandinavia iaitu Denmark berjaya setiap tahun dinobatkan sebagai negara yang paling bahagia di dunia. Terdapat pelbagai sebab yang dikatakan sebagai penyumbang kepada faktor kebahagiaan penduduk negara ini di mana antaranya adalah, pendidikan percuma, pendapatan penduduk yang tinggi dan kebajikan rakyatnya terjaga. Dari pengamatan penulis setelah berada di bumi Viking ini selama lebih tiga tahun, penulis mendapati antara faktor yang menjadikan penduduk negara Denmark ini gembira adalah persekitarannya yang sihat. Kawasan hijau diguna dengan sepenuhnya oleh pelbagai peringkat masyarakat untuk berekreasi dan beriadah. Kawasan yang kecil dimanafaatkan sepenuhnya untuk berkebun dan jika tiada ruang untuk berlandskap di persekitaran rumah, masyarakat di Denmark ini sanggup menyewa tapak untuk berkebun. Di dalam kata lain, kawasan hijau serta laman dianggap amat penting terutamanya di kediaman dan digunakan sebagai agen terapi di dalam mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat di negara maju ini.



Laman bersifat terapi telah digunakan sejak berzaman lamanya di mana kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan ubatan telah dibina di pusat keagamaan di Eropah sebagai usaha untuk memulihkan para pesakit yang ditempatkan di situ. Pada abad ke 21 ini, dengan penghuni kota terutamanya di pusat bandar yang sering menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian, kepentingan kawasan hijau serta laman di kediaman yang mempunyai ciri terapi perlu ditekan kan. Rekabentuk laman terapi tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh dicapai melalui rekabentuk ruang, aktiviti dan pemilihan tumbuhan yang teratur. Mungkin ramai yang tidak mengetahui dengan pendedahan kepada kawasan hijau mampu memberi impak kepada fizikal serta mental dalam menstabilkan degupan jantung, mengurangkan tekanan darah dan otot, ketahanan tinggi kepada kesakitan serta pengurangan stress yang ketara. Dengan pertambahan gejala sosial serta jenayah yang disebabkan oleh tekanan di Malaysia, penekanan kepada penggunaan kawasan hijau perlu diberi perhatian serius.

Pembinaan sebuah laman yang berciri terapi tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Tiga kunci utama yang perlu diambil kira dalam merancang dan mereka bentuk laman terapi membabitkan aspek keselamatan, motivasi dan keselesaan. Penggunaan unsur air, ruang rehat yang memberi privasi, penggunaan bekas tanaman yang kreatif, hiasan taman yang berbentuk peribadi merupakan antara elemen landskap yang boleh diterapkan untuk laman terapi di kediaman. Laman hijau bukan sahaja mencantikkan persekitaran rumah, namun dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental melalui pendekatan rekabentuk yang kreatif serta praktikal.

 
 
Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Shukor

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, 
Universiti Putra Malaysia

SXESWAo~