JANGAN TERLALU GHAIRAH DENGAN RUMAH BAHARU SIAP DIBINA. FAHAMI BAHAYA V.O.C. | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» ARTICLE » JANGAN TERLALU GHAIRAH DENGAN RUMAH BAHARU SIAP DIBINA. FAHAMI BAHAYA V.O.C.

JANGAN TERLALU GHAIRAH DENGAN RUMAH BAHARU SIAP DIBINA. FAHAMI BAHAYA V.O.C.

Prof Madya Dr Mohamad Fakri Zaky bin Jaafar

 

Sumber imej: mfzdesignhouse.weebly.com

Rumah impian anda baharu saja siap, ataupun baharu sahaja diubah suai. Tentu anda dan keluarga sudah tidak sabar hendak masuk. Tetapi nanti dulu, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu. Rumah baharu, atau baharu diubahsuai, tentunya mempunyai bau 'baharu'. Bau cat baharu, bau karpet baharu, bau kabinet dapur yang baharu. sebenarnya bau-bauan ini adalah bau kimia yang dilepaskan oleh bahan-bahan di dalam rumah baharu anda.

 

Cat yang baru disapu paling ketara. Kebanyakan bau ini adalah merbahaya kepada kesihatan. Bau yang tersebar dari bahan tersebut adalah sekumpulan kimia yang dikelaskan secara umum sebagai Volatile Organic Compound (VOC). Apakah kimia yang terkandung dalam VOC ini dan apakah kesannya? Bagaimana caranya kita mengatasi masalah ini?

 

Apakah V.O.C.?

 

VOC adalah merupakan kumpulan bahan kimia yang terampai di udara. Contohnya dari cat, ia adalah bahan pelarut yang terbebas di udara apabila cat mula mengering. Salah satu VOC yang paling banyak di dalam pembinaan ialah formaldehyde. Selain dari itu terdapat benzene, tolouene, ethylbenzene, xylene, MTB dan banyak lagi. ​ Bahan2 kimia ini boleh didapati bukan dari cat sahaja, bahkan banyak bahan binaan dan barangan pengguna lain mengandungi VOC, seperti gam kayu, bahan resin dari papan campuran, pelekat karpet, gam untuk lapisan veneer, ubat gegat, simen PVC dan primer dan pelbagai lagi.

 

​

Sumber foto: aquaproof.id

 

VOC boleh menyebabkan simptom seperti pening, mual, mata gatal dan berair, kesukaran bernafas, sakit kerongkong dan lain lain. Bukan itu sahaja, terdapat bukti yang menunjukkan, terdedah kepada dos VOC yang tinggi dan untuk jangkamasa yang lama, boleh mempunyai kesan jangka panjang kepada manusia seperti keguguran, kecacatan janin, kanser, asma dan sebagainya.

 

 Apakah cara mengurangkan risiko dari masalah ini? 

Pertamanya, pilih bahan binaan yang mempunyai nilai VOC yang rendah. Biasanya produk yang seperti ini akan dilabel ‘Low V.O.C.’. Buat masa ini ia agak mahal berbanding produk biasa. Walaubagaimanapun harga produk ini semakin murah dan menyaingi harga produk biasa kerana semakin banyak permintaan untuknya. Ini adalah kerana semakin ramai pengguna yang sedar akan bahayanya produk yang mempunyai VOC yang tinggi.

Keduanya, pengudaraan. Tingkap ke ruang yang baharu dicat atau diubahsuai hendaklah sentiasa dibuka supaya udara luar boleh masuk dengan banyak. Elakkan berada di dalam sesebuah bilik sekiranya masih terdapat bau yang kuat. Sebaik-baiknya, sebuah bilik yang baharu dibina dan diubahsuai tidak diduduki dahulu, dan dibiarkan terdedah kepada udara luar sehingga bau tersebut hilang. Diwaktu siang bukakan bukaan tingkap dan pintu seluas-luasnya. Ini mungkin perlu dilakukan sehingga satu atau dua minggu. Namun begitu masih terdapat produk yang mengeluarkan VOC ini perlahan-lahan untuk jangkamasa yang lama. Sekiranya anda mempunyai lebihan cat, atau gam yang tidak digunakan, pastikan ia ditutup dengan kedap dan diletakkan di dalam stor yang mempunyai pengudaraan yang baik.

 

 

 

Date of Input: 09/05/2024 | Updated: 09/05/2024 | marini

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXFUVAH~