Pendekatan Untuk Menjadikan Landskap Terapi Yang Berkesan Di Institusi Kesihatan | FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
» ARTICLE » Pendekatan Untuk Menjadikan Landskap Terapi Yang Berkesan Di Institusi Kesihatan

Pendekatan Untuk Menjadikan Landskap Terapi Yang Berkesan Di Institusi Kesihatan

Pada masa ini apabila membuat kunjungan ke hospital, mungkin kita dapat melihat ruang landskap yang dilabelkan sebagai ‘Laman Terapi’. Ada yang berjaya, namun ada juga yang tidak. Ruang langskap yang dipenuhi tumbuhan, batuan untuk refeksologi dan ruang berteduh mungkin tidak boleh cukup untuk  dianggap sebagai landskap terapi.

Kawasan hijau yang mempunyai ciri terapi sering menjadi pilihan apabila merekabentuk landskap terutamanya di institusi kesihatan. Dari segi sejarah, konsep landskap sebegini bermula dari institusi di Eropah yang menyediakan bantuan perubatan kepada pesakit. Landskap yang terdapat di institusi pada masa itu dipenuhi dengan tumbuhan untuk digunakan sebagai ubatan.

Landskap berciri terapi di institusi kesihatan didefinasikan sebagai ruang yang dibina dengan intervasi terapi melalui aktiviti, fasiliti dan dengan kerjasama pelbagai pakar dengan bertujuan membantu di dalam proses baik pulih. Di Malaysia, pelbagai kemajuan dari segi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat dilihat setiap tahun. Hakikat ini juga dapat dilihat di dalam usaha mengadakan kawasan luaran hijau di hospital kerajaan di setiap negeri. Institusi kesihatan swasta juga telah menyedari yang landskap yang menarik serta berciri terapi berpotensi menarik lebih pelanggan, selain dari perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

Landskap luaran hijau yang dibina dengan baik bukan sahaja menyediakan pandangan menarik, tetapi ia juga mampu mengurangkan tekanan terutamanya kepada para pesakit. Banyak kajian telah membuktikan yang pendedahan kepada landskap berciri terapi mampu membantu baik pulih dan mengurangkan emosi yang bersifat negatif. Satu kajian di Amerika menunjukkan pesakit yang didedahkan kepada landskap sebegini mampu mengurangkan waktu tinggal di hospital berbanding dengan pesakit yang berada sepenuhnya di wad yang tiada pandangan ke arah landskap hijau.

Landskap terapi yang berjaya perlu direka sebagai kawasan luaran yang mampu berfungsi untuk menyokong pemulihan dan sebagai pencetus interaksi sosial disamping memberi penekanan dalam konteks psikologi dan fizikal mereka yang meggunakan landskap terapi tersebut. 

Dari kajian yang dijalankan mengenai taman hospital di Malaysia oleh Universiti Putra Malaysia, beberapa keputusan awal dapat dikenalpasti mengapa landskap berciri terapi di institusi kesihatan tidak digunakan dengan sebaiknya.

  1. Landskap direkabentuk tanpa memikirkan faktor cuaca tropika

Rekabentuk yang diaplikasikan kebanyakannya mengikut contoh dari negara barat yang beriklim sejuk dan pengguna yang sukakan cahaya matahari. Untuk negara seperti Malaysia, kemudahan yang diadakan di landskap terapi perlu boleh digunakan dalam pelbagai cuaca. Ruang berehat perlu disediakan teduhan dan kawasan pejalan kaki mempunyai bumbung yang menghubungkan bangunan dan taman di mana pengguna masih lagi boleh menggunakan kawasan taman pada masa cuaca panas ataupun hujan.

  1. Kesukaran untuk sampai ke taman

Pengguna dengan pelbagai keupayaan perlu diberi keutamaan untuk mudah sampai ke taman. Pengguna yang berkerusi roda, bertongkat, dan mereka yang kurang upaya sepatutnya boleh bergerak dengan mudah di taman tanpa bantuan. Faktor yang diambil mudah oleh mereka yang mempunyai keupayaan seperti longkang kecil di antara bangunan dan taman yang tidak ditutup di mana ini akan menghindari mereka yang berkerusi roda ataupun orang tua untuk melangkah ke taman. Permukaan pejalan kaki di taman juga perlu rata dan tidak menggunakan bahan batuan yang walaupun kelihatan cantik tetapi boleh menyukarkan golongan bertongkat serta berkerusi roda.

  1. Informasi mengenai lokasi taman terapi

Maklumat mengenai adanya taman terapi serta lokasi yang jelas perlu diadakan untuk memberitahu para pengguna tentang wujudnya taman sedemikian. Antara cadangan yang boleh dibuat adalah maklumat mengenai lokasi taman ini boleh dimasukkan pada peta lokasi hospital. Ramai pengguna yang mengatakan mereka tidak tahu wujudnya taman sedemikian di hospital yang mereka kunjungi. Arahan ke taman juga boleh dimasukkan ke dalam brosur dan arahan perlu dalam bentuk paling mudah untuk faktor kemudahsampaian.

  1. Adakan pelbagai bentuk ruang dan fasiliti di taman

Aspek psikologi serta sosial seperti keperluan ruang untuk mencari ketenangan, peluang untuk bersendiri dan juga peluang untuk berinteraksi dengan oang lain dianggap penting untuk pembentukan taman terapi. Laman terapi seharusnya mampu berfungsi untuk pelbagai acara seperti ruang untuk berkumpul, boleh bertindak sebagai ruang untuk sesi terapi dan juga ruang untuk sokongan sosial. Susunatur yang disediakan perlu mengambil kira keperluan pesakit, kakitangan hospital dan juga pelawat. Contoh ruang yang boleh diadakan seperti kawasan untuk para kakitangan berehat atau makan tengahari dan juga terdapatnya kawasan yang mempunyai teduhan untuk para pelawat menunggu.

  1. Aspek penyelengaraan yang teratur

Aspek yang sering diabaikan apabila sebuah landskap siap dibina adalah penyelengaraan. Aspek penyelengaraan seperti penjagaan tumbuhan, memastikan fasiliti yang cukup dan elemen air yang sentiasa berfungsi dapat memastikan sebuah taman terapi berjaya dan digunakan setiap masa. Taman yang sentiasa diselenggara rapi juga memberi impressi keadaan yang selamat dan mendorong pesakit untuk keluar dan berada di taman. Keperluan asas seperti ruang penyimpanan alatan penyelengaraan juga perlu difikirkan apabila merekabentuk taman di hospital.

Sebagai kesimpulan, taman terapi di hospital mampu memberi pelbagai kebaikan untuk pelbagai peringkat pengguna. Namun, kepentingan dalam menimbulkan kesedaran di kalangan kakitangan institusi kesihatan sendiri tentang kepentingan kawasan luaran hijau berciri terapi harus diberi penekanan. Mereka perlu tahu tentang fungsi taman yang dibina serta bagaimana ruang hijau yang ada boleh diguna sepenuhnya terutama untuk membantu proses baik pulih pesakit. Ruang landskap terapi yang diadakan di institusi kesihatan juga mampu menjadi sebagai aset di mana selain dari ciri terapi atau restoratif yang disediakan, ruang sebegini boleh menjadi jaringan dengan masyarakat sekeliling melalui aktiviti serta fasiliti yang disediakan.

 

 
 
Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Shukor

Pensyarah Kanan,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina, 
Universiti Putra Malaysia

Date of Input: 28/01/2020 | Updated: 28/01/2020 | azliana

MEDIA SHARING

FACULTY OF DESIGN AND ARCHITECTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694090
0389480017
SXEUBAN~